2017年1月13日星期五

Perhimpunan Haram demi Hak asasi LGBT

SEBAHAGIAN  peserta membawa bendera golongan LGBT  pada perhimpunan


KETIKA berlaku perhimpunan haram Bersih 5.0 di ibu kota, 19 November lalu, kelompok lesbian, gay, biaseksual dan transgender (LGBT) adalah antara kumpulan yang turut sama menyertainya. Kehadiran golongan itu bukanlah sesuatu yang menghairankan disebabkan tuntutan mereka untuk melakukan seks songsang juga terkandung dalam agenda perjuangan Bersih.

Malah kehadiran bekas Ahli Parlimen Australia, Jamie Par­ker iaitu seorang penyokong kuat LGBT dalam perhimpunan haram itu jelas membuktikan bahawa tuntutan hak untuk melakukan seks songsang di negara ini oleh kelompok tertentu benar-benar wujud dan serius. Semuanya ini dibuat atas nama hak asasi manusia yang tiada batasan.


Sesiapapun tidak boleh menafikannya apatah lagi sebahagian `orang kuat’ Bersih 5.0 juga adalah pihak yang sama-sama membentuk Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) pada tahun 2013.

Kewujudan Comango berkait rapat dengan semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland, 24 Oktober 2013. Berikutan proses tersebut, Comango telah menuntut beberapa perkara berasaskan hak asasi manusia dan sebahagiannya jelas bertentangan dengan Islam.

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini. Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan di samping memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak berjaya apabila kerajaan Malaysia tegas mempertahankan Islam dengan menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah dalam sesi penerimaan muktamad UNHRC pada 20 Mac 2014. Apatah lagi dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang tertakluk dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sesi penerimaan muktamad itu, kerajaan telah menerima sepenuhnya 113 syor manakala 21 lagi syor telah diterima secara prinsipnya. Sementara itu, sebanyak 83 syor ditolak.

Kebanyakan syor yang ditolak adalah tuntutan yang dihantar oleh Comango semasa sesi pusingan kedua proses UPR pada 24 Oktober 2013 antaranya tuntutan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengharamkan perlakuan jenayah seperti aktiviti LGBT.

Inilah cabaran yang terpaksa di­hadapi oleh Malaysia ekoran ledakan serta tekanan oleh pejuang-pejuang hak asasi manusia di negara ini hingga ke peringkat boleh mengganggu gugat kedudukan Islam. Penulis yakin puak-puak ini tidak akan berputus asa seperti mana pernah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.

Ketika itu beliau adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) yang turut berada di Geneva bagi menyaksikan proses UPR tersebut.

Sebaliknya, Comango akan terus melakukan apa sahaja untuk menuntut hak tersebut meskipun bertentangan dengan syarak dan bertentangan dengan fitrah manusia. Ada orang bertanya tentang status sebahagiannya yang beragama Islam. Jawapannya mudah dalam era manusia semakin jauh daripada agama sebarang kemungkinan boleh berlaku,

Jangan lupa umat Islam liberal di seluruh dunia sudah semakin ramai dan bagi golongan yang seperti ini hak asasi mutlak adalah segala-galanya.

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin dalam pembentangan kertas kerjanya sempena Multaqa Perundangan dan Politik Majlis Perundingan Islam, di Putrajaya, baru-baru ini pernah menyentuh tentang isu tersebut.

Dalam kertas kerja bertajuk Menjamin Hak Umat Islam di Malaysia Untuk Mengamalkan Islam: Cabaran Dan Jalan Ke Hadapan beliau berkata, tuntutan yang dibuat oleh Comango itu banyak bercanggah dengan ajaran Islam seperti membenarkan perbuatan homoseksual dan menggubal rang undang-undang mengharamkan diskriminasi berasaskan orientasi seksual.

Selain cabaran hak asasi mutlak yang diperjuangkan oleh Comango beliau turut memaklumkan tentang kewujudan gerakan yang berusaha menafikan hak umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab beragama sepenuhnya walaupun Islam telah diiktiraf sebagai agama bagi Persekutuan.

Antaranya ujar beliau, apabila terbentuknya kumpulan G25 yang dianggotai oleh orang Melayu profesional. Secara konsisten kata Azril, G25 menentang sebarang usaha untuk memperkemaskan undang-undang jenayah Islam ke atas orang Islam di Malaysia.

Katanya, inilah realiti yang berlaku, selain berhadapan dengan cabaran gerakan hak asasi mutlak seperti Comango, Malaysia juga berhadapan dengan gerakan yang berusaha menidakkan hak mengamalkan Islam seperti mana diperintahkan oleh syarak.

Sememangnya tidak boleh dinafikan kebebasan orang Islam di Malaysia sentiasa diancam dan contoh terbaharu adalah penentangan terhadap usaha memperkasakan lagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) atau Akta 355 melalui pembentangan usul rang undang-undang persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 27 Mei lalu.

Beliau berkata, penentangan itu turut membabitkan golongan bukan Islam walaupun akta ber­kenaan langsung tidak membabitkan mereka. Pindaan Akta 355 itu khusus untuk orang Islam sahaja.

Begitu juga katanya, hak wanita Islam yang kadang-kadang menghadapi kekangan untuk memakai hijab di tempat kerja sejajar dengan tuntutan syarak dan tidak terkecuali dakwaan hak pekerja Islam untuk bersolat termasuk solat Jumaat di tempat kerja dinafikan.

没有评论:

发表评论